Monday, April 27, 2009

Perjalananmu Seorang Pejuang

[ingatan buat Allahyarham Dato’ Fadzil Nor, 1937-2002]

Dari semangat mudamu
kau menyala ungun
menyelongkar belantara
sarat oleh kebuasan
selirat oleh kelukaan
kau tinggalkan dunia amanmu
dari bilik dingin dari meja bersih
dari ramah siswa dari hanya letih
menanda-nanda kertas jawapan.

Kau arif, belantara itu bukan
ruang rehat di bawah putar kipas
tetapi cerut derita di bawah bilah ujian
belantara itu juga kau mengerti
bukan dewan luas di depan siswa
tetapi kamar dugaan di depan
haiwan berkulit insan - siap membahammu
begitu kau dengan sekukuh berlian
melepas kesenangan menempah penderitaan.

Dunia barumu adalah belantara sebenarnya
kerana berdepan denganmu adalah yang
memahami manusia adalah haiwan politik
menghalalkan segenap cara menyingkirkan
sekalian kemurniaan yang kau perjuangkan
begitu pun kau memimpin sejumlah
mata memungut wahyu
telinga mengutip pesan
mulut meniup bayu
tangan cuba merubah mungkar.

Benar, belantara itulah kau
menyelongkar bersama unggun
yang kau julangkan menerangi
sepanjang denai perjalanan
menakluk puncak yang masih jauh
meski ada yang rebah
meski ada yang berpatah
meski ada yang memilih
jalan senang lalu menentangmu
kaulah si pengembara istiqamah
pemilik hati seketul berlian.

Belum sempat kau takluki puncak
meski sepertinya kita hampir ke situ
nafasmu tidak mengizinkan segenap
dirimu mendaki lagi
kau pun genggam tangan kami ini
memesan agar teruskan perjalanan
sehingga menakluk puncak belantara
kau pun penjam matamu
tinggalkan kami dalam perjalanan ini.

Kami akur, kau yang dulunya muda
menyala unggun memula perjalanan
kini menyahut panggilan wajib
yang tak bisa kami tahan
maka kami yang masih muda
memelihara unggun menyambung perjalanan
sehingga mencapai puncak
atau kami nanti menurut jejakmu.

Kau sudah menjual dunia senangmu
memulakan perjalanan sukar ini
demi mengaut untung akhirat nanti
sudah menamatkan perjalanan ini
selesai mengira keuntunganmu
kami juga akan menjual dunia senang ini
menyambung perjalanan sukar ini
demi mengaut untung akhirat nanti
akan nanti menamatkan perjalanan ini
akan nanti selesai mengira keuntungan ini.

Damanhur, 25 Jun 2002

Wednesday, April 22, 2009

Pembuka bicara.. Dedikasi buat Ayahanda & Bonda

Salaamun Qaulaa.. MirrabbirRahiim..

Saya dedikasikan detik BERTAMU ini dengan mengukir kenangan di persada hati.. insan-insan yang terlebih awal menemui Kekasih tercinta..

Dedikasi pertama buat bonda tercinta.. satu-satunya insan yang benar-benar memahami diri ini.. seorang pejuang marhein yang menjadi pimpinan utama Muslimat Negeri Sembilan, bukan bertahun-tahun tapi puluhan tahun sehingga ruhnya berterbangan menemui Kekasih sejati, masih ditagih kepimpinannya.. mengharungi ujian perit getir sedari awal perjuangan sehingga dihari-hari pengkembumiannya..

Namun Allah Maha Berkuasa, nikmat dirasai tika pemergiannya.. petang khamis itu.. angin sejuk membawa rohnya, embun mengelilingi hospital, tubuh seringan kapas selepas dimandikan, tanah permakaman yang berlebih-lebihan.. dan banyak lagi, biarlah ia menjadi kenangan terperi indah!!

Bonda adalah seorang pimpinan Muslimat yang amat disayangi.. lembut dalam ketegasan, amat merendah diri dan tak malu menerima pandangan orang lain.. sering menjadi rujukan dalam permasalahan keluarga dan perjuangan..

Tidak terkira kenangan indah bersama bonda.. seingatku dialah yang memperkenalkanku kepada perjuangan.. seusia 7 tahun dibawa naiki bas dari Jempol ke Seremban, kemudian ke KL, kemudian ke Grenwood, akhirnya ke Taman Melewar.. menghadiri mesyuarat Dewan Muslimat PAS Pusat, masih terkenang.. aku bermain-main ditepi pintu sambil memerhatikan bonda bermesyuarat bersama Ustazah Wan Asma’, Ustazah Jamilah Ibrahim dan lain-lain.

Pernah dikurniakan rezeki bacaan dan doa ‘Al-Fatihah’ secara khusus oleh seluruh kepimpinan, perwakilan dan khalayak pejuang (Muktamar PAS) apabila tersalah umum kematiannya sedangkan bonda cuma terlantar sakit di Hospital. Murah sungguh rezeki bonda..

Dialah juga yang membimbing dan mempertahankan tika zaman nakalku.. memarahi kemudian memujuk lembut, usapan bonda masih dirasai hingga kini.. bonda dipertengahan hayatnya sering sakit.. sakit darah tinggi, kencing manis, grastrik, jantung dan lain-lain, namun tika diakhir hayatnya bonda semakin sehat.. itupun setelah ‘kami adik beradik’ menasihati bonda agar mengurangkan ubatan hospital dan beralih kepada herba.. terima kasih HPA.

Petang sabtu itu.. bonda membuat panggilan terakhir ketika aku dalam perjalanan pulang dari misi memperkenalkan perubatan HPA dan bekam di Pahang.. bonda bertanyakan lembut.. aku cuma menjawab semuanya ok.. di awal pagi ahad yang hening bonda kena serangan strok dan jatuh koma ketika dalam perjalanan ke hospital setelah dimalamnya bonda buang air besar dan mandi sebersih-bersihnya (bonda tak pernah mandi malam).. rupa-rupanya bonda mahu menemui Ilahi dalam keadaan suci bersih dan lidahnya tak henti-henti menyebut nama Ilahi sehingga bonda koma.

Hari demi hari, petang khamis itu.. dengan suasana dingin dan sunyi, roh ibu dijemput Ilahi dibawa angin sejuk dan diiringi kabus tebal mengelilingi hospital dan rengekan hujan. Sepanjang masa jenazah bonda diiringi bacaan al-Quran, dimandikan anak-anak, kubur digali oleh anak menantu, diimami, ditalqin dan dimakankan oleh anak, menantu, cucu-cucu serta saudara mara. Selamat pergi bonda dan terima kasih Ilahi kerana mengurniakan bonda sebaik itu kepada aku yang terlalu naïf ini.. Ya Allah jadikanlah aku seorang pejuang semulia akhlak dan budi bonda..


Dedikasi kedua buat ayahanda tercinta.. insan yang amat tegas mendidik anak-anak, rasa-rasanya akulah yang paling banyak kena rotan.. bermula dari pemuda biasa yang tak pandai membaca ‘surah-surah panjang’.. tika mula menikmati manis perjuangan.. bermula era perjuangannya dengan motor ‘kapcai’ ditemani bonda (kadang-kadang aku ikut jugak) mengelilingi negeri untuk menuntut ilmu perjuangan..

Kegigihan dan keberanian dalam perjuangan usah ditanya lagi.. sedia berhujjah tak kira siapa, daripada orang biasa sehingga ke pembesar adat sehingga pernah keluarga ini dihukum “hilang tak dicari, jatuh tak dikutip, tegur tak disapa” begitulah lebih kurang seingat-ingatnya.

Memperjuangkan PAS tika orang takut dengan PAS.. mempertahankan PAS tika orang sering mengutuk PAS.. menjadi pejuang marhein dan amat suka menjamu pimpinan Pusat di teratak kami jika mereka bertamu ke Negeri Sembilan.. Ayahanda sangat pandai memasak.. tak percaya tanyalah Al-Marhum Ustaz Fadhil Noor, Tuan Guru Haji Hadi, Tok Guru Nik Aziz atau tanya saje pada Tuan Haji Mohamad Sabu yang pernah dianggap sebagai anak angkat..

Kelakarkan.. pabila ayah menjadi perwakilan Dewan Ulama’ PAS N. Sembilan di Muktamar.. Daifnya PAS ketika itu, sehingga ayahanda terpaksa menjadi ‘ulamak’.

Ayahanda sering menjadi teman debatku.. macam-macam dan semua nak berdebat.. berjam-jam dan meleret-leret.. bonda selalu marah, tapi ayahanda kata saje je nak ajar aku.. oh begitu!! Masih tergiang-giang wasiat ayahanda, kalau ayah yang cuma orang kampung dan bekerja buruh mampu melahirkan anak seorang ustaz .. komanlah kalau kau seorang ustaz tak mampu lahirkan seorang ulama’.. aku masih merenung panjang dan akan kusahut cabaran ayahanda itu, InsyaAllah.

Kenangan yang paling indah apabila aku berjaya menyumbang sekelumit cuma buat ayahanda dan bonda pergi menunaikan umrah di Tanah Suci.. kemudian menetap seketika di tempat pengajianku di Bumi Anbiyak. Dapatlah bawa mereka jalan-jalan menziarahi maqam-maqam anbiyak dan auliyak disamping tempat-tempat bersejarah seperti Piramid, Tiang Pompey, Rome Teater, Kubu Solahuddin Al-Ayubi dan banyak lagi..

Setelah pemergian bonda, hidup ayahanda nampak benar kosongnya.. cinta yang terpahat berlandaskan perjuangan amat indah.. cukup setahun, awal pagi ahad itu.. ayahanda tiba-tiba diserang strok ketika berehat di Marang dalam perjalanan ke Kelantan.. aku pantas bersama dua kakak dan adik bongsu menuju ke Hospital Kuala Terengganu menaiki kereta ‘kancil’ (kereta pertamaku yang dipilih sendiri oleh ayahanda).

Petang ahad itu, aku mengiringi jasad ayahanda yang di’tidur’kan dari Kuala Terengganu ke Seremban dengan ambulan. Ayahanda tak sedar sepanjang perjalanan itu.. namun aku sentiasa memegang tangannya… Maha Suci Allah, ayahanda memegang erat tanganku dan menggosok-gosok ibu jari seolah-olah berbicara denganku.. alangkah indahnya saat itu..

Malam selasa itu.. aku yang masih keletihan, tetap disuruh untuk menjaga ayahanda di wad ketika semua adik-beradik dan saudara mara berkumpul membaca yaasin. Dalam perjalanan tak henti-henti hati dan lidah berzikir.. tak tahu kenapa!! Sampai di wad, ingin saja aku mencapai surat khabar untuk melihat berita yang sudah 2 hari tidak ditatap.. namun hati tetap menyuruh membaca al-Quran.

Ketika aku berduaan dengan ayahanda, nafas ayahanda semakin laju.. lantas aku talqinkan ditelinganya dan tanpa kusedari akhirnya roh ayah pergi dengan tenang selepas sempat kukirimkan salam pada Rasulullah, bonda dan Ustaz Fadhil Noor.. saat wad yang bising, tiba-tiba sunyi sepi.. aku menatap wajah ayahanda, kelihatan air matanya bertakung di bawah cengkuangan mata, titikan peluh jantan di dahi, hujung hidung dan dagu ayah..

Tidak setitis pun air mataku keluar, bahkan megahnya diri.. bangganya diri.. kerna berjaya.. ya berjaya talqin dan melepaskan roh ayahanda sambil menyaksikan kebenaran ‘husnul khatimah’ secara live sebagaimana yang termaktub dalam kitab-kitab muktabar..

Terima kasih Ilahi kerana kurniakan ayahanda yang sebegitu mulia buat diri ini yang terlalu daif. Ya Allah jadikanlah aku seorang pejuang setabah dan setulus Ayahanda.